"ICT dapat ditakrifkan sebagai Pelbagai bentuk peralatan dan sistem yang digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik. Pada hari ini, ICT digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yg lebih besar terhadap dunia akan datang" (Robertson, 1998)
TEKNOLOGI maklumat dan komunikasi(ICT) sememangnya dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah,menyesuaikan diri dengan perubahan dan meningkatkan komunikasi antara guru dengan pelajar di dalam proses P&P yang dijalankan. Penggunaan ICT dalam proses P&P yang setara dengan perkembangan zaman pada masa kini pada hakikatnya sangat membantu proses P&P itu berjalan dengan lebih cekap,berkesan,cepat dan mudah difahami. Seseorang guru itu haruslah sentiasa bersifat bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. ICT juga dapat meningkatkan kualiti mengajar seorang guru itu,proses P&P juga menjadi lebih seronok dan menjadi tarikan kepada pelajar terhadap pembelajaran yang diajar oleh guru tersebut.
Selain itu,ICT juga dapat membantu guru untuk mengemaskinikan dengan mudah dan cepat maklumat berkaitan pelajar mahupun sekolah. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan. Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit.
Maklumat berkaitan pelajar tidak hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan pelajar termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya boleh diakses dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah dengan bantuan teknologi ICT.
Dulu maklumat yang disimpan di dalam fail kurang membantu dan dimanfaatkan kerana sukar dicapai. Tetapi kini dengan bantuan ICT, pengurusan sekolah dapat bekerjasama, berurusan dan membantu pihak luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Mahkamah dan pihak-pihak tertentu dengan lebih mudah dan cepat apabila maklumat sentiasa dapat dikemaskinikan.